CLICK MY NUFFNANG AD'S

Mari Ramai-Ramai Klik..

Monday, June 7, 2010

RMK-10: APA DIHARAPKAN SABAH DAN SARAWAK

7th June, 2010
 
KUALA LUMPUR: Ketika melakukan lawatan ke sebuah rumah panjang berhampiran Sibu, Sarawak bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendapati kebanyakan jalan raya di kawasan itu perlu dibaiki bagi memudahkan penduduknya menjalani urusan seharian.
Walaupun projek itu dijangka menelan kos RM34 juta, namun Najib berkata beliau akan menimbang bagi memasukkannya ke dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), yang akan dibentangkan minggu depan.
Kesimpulannya, kata beliau, kerajaan telah menggariskan rancangan terperinci tentang perkara yang perlu dilakukan bagi membantu rakyat yang tinggal di kawasan yang kurang membangun di Sarawak dan Sabah.
“Kami mahu menaik taraf kawasan yang masih ketinggalan. Saya bercadang menyediakan peruntukan besar bagi membangunkan daerah luar bandar.
“Kami akan sediakan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya dan rumah yang selesa untu semua rakyat,” katanya pada satu perhimpunan di Rumah Sebastian Ugoh, kira-kira 20km dari bandar Sibu.
Walaupun Najib melakukan kunjungan itu semasa berkempen bagi pilihan raya kecil Sibu, tetapi apa yang diucapkannya itu merupakan hasrat beliau bagi merapatkan jurang perbezaan antara Semenanjung Malaysia, yang secara umumnya lebih membangun, berbanding dua negeri berkenaan.
Sebenarnya, selama ini pun, rakyat Sabah dan Sarawak mengharapkan rancangan itu akan dilaksanakan kerana mereka berkeyakinan teguh terhadap kepimpinan Najib dalam menambah baik kemudahan asas di tempat masing-masing.
Walaupun penyediaan prasarana tidak menjadi isu utama bagi kebanyakan penduduk bandar di semenanjung Malaysia, tetapi ia masih menjadi keutamaan bagi penduduk di dua negeri tersebut, terutama yang tinggal di pedalaman, yang sebahagian besarnya masih kurang membangun dan sukar dihubungi kerana ketiadaan jalan raya dan kemudahan jaringan komunikasi yang baik.
Memandangkan Model Baru Ekonomi (MBE) dan RMK-10 bakal dibentangkan Khamis ini, rakyat Sabah dan Sarawak menaruh harapan agar kerajaan memberi lebih banyak perhatian terhadap keperluan mereka.
Kerajaan dijangka memberi perhatian terhadap apa sebenarnya yang diperlukan oleh rakyat. Contohnya, ketika berada di Kota Kinabalu awal tahun ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata isu berkaitan prasarana dan kemudahan asas di luar bandar tetap mendapat perhatian utama kerajaan. “Dalam usaha untuk mengurangkan kemiskinan, kami perlu atasi semua masalah ini.”
“Sarawak dan Sabah adalah negeri yang besar (secara relatif). Kami benar-benar berharap supaya kerajaan akan membuat pengagihan secara lebih adil daripada segi pelaksanaan projek pembangunan. Selain itu, kami juga berharap agar mereka mengambil kira keunikan masyarakat yang tinggal di sesuatu tempat bagi memastikan pembangunan sampai kepada sasaran sebenar,” kata Anggota Parlimen Kapit Datuk Alex Nanta Linggi.
Sebagai contoh, kata beliau, Sarawak mempunyai banyak kumpulan etnik dan setiap kumpulan ini lebih suka tinggal di kawasan tertentu, umpamanya kebanyakan masyarakat Bidayuh lebih gemar tinggal di Kuching dan Samarahan, manakala Orang Ulu pula memilih Kapit, Belaga dan Baram sebagai kawaan kediaman mereka.
“Apabila merangka sesuatu rancangan ekonomi, perkara ini perlu diambil kira. Tidak boleh sekadar merangka satu rancangan berbentuk umum dan menyeluruh kerana ada kawasan tertentu yang tidak langsung didiami etnik tertentu,” kata Alex Nanta.
Sebagai anggota masyarakat Dayak, beliau melahirkan harapan agar kerajaan melaksanakan lebih banyak tindakan afirmatif bagi membantu masyarakatnya, termasuk menawarkan lebaih banyak peluang perniagaan kepada mereka.
“Kini, semakin banyak orang Dayak yang berkebolehan. Bagaimanapun, mereka baru berjinak-jinak dengan dunia perniagaan dan ini bererti mereka masih memerlukan perhatian daripada kerajaan,” katanya.
Alex Nanta berkata beliau juga berharap kerajaan akan merangka satu dasar menyeluruh dan rancangan afirmatif bagi masyarakat luar bandar, sejajar dengan hasratnya untuk menjadikan Malaysia sebuah ekonomi berpendapatan tinggi.
“Kerajaan perlu ada perancangan bagi mewujudkan sistem berkesan untuk membantu rakyat, khususnya kumpulan yang tinggal di luar bandar dan golongan berpendapatan rendah. Tidak cukup hanya berkata ‘kami akan sediakan kemudahan pendidikan yang lebih baik bagi mereka’ kerana sebenarnya kami lebih memerlukan projek sosio ekonomi,” kata beliau.
Alex Nanta berkata bagi meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar dalam tempoh RMK-10, lebih banyak kawasan pekebun kecil bagi tanaman kelapa sawit dan getah perlu dibuka.
“Kerajaan perlu menggubal satu sistem ekonomi bagi memperkasakan masyarakat luar bandar kerana sistem upah yang ada sekarang tidak cukup menarik,” katanya.
Alex Nanta berkata sekiranya kerajaan benar-benar serius untuk meningkatkan taraf hidup rakyatnya, ia perlu memastikan mereka berkeupayaan menggunakan segala peluang yang ada di bawah MBE dan RMK-10.
Sejajar dengan itu, beliau berpendapat isu menjunjung hak asasi manusia dan memerangi rasuah perlu dijadikan keutamaan dalam dasar dan pelan tindakan negara.
“Ekonomi perlu dikembangkan secara serius agar lebih banyak dapat dikongsi sesama rakyat. Untuk melaksanakan perkara ini dengan berkesan, sedikit sebanyak kesakitan akan dirasai. Oleh itu, pengurangan subsidi merupakan suatu pendekatan yang betul.
“Lebih penting, rakyat Malaysia perlu serius dalam memahami erti produktiviti tinggi dan MBE serta RMK-10 perlu berfungsi ke arah merangsang peningkatan produktiviti di semua peringkat,” katanya.
Pandangan beliau itu dipersetujui oleh Anggota Parlimen Kanowit Datuk Aoran Dagang apabila beliau berkata kerajaan perlu memberi lebih banyak tumpuan terhadap usaha membasmi kemiskinan tegar, khususnya di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.
“Kami belum melihat butiran terperinci RMK-10, tetapi berharap kerajaan tidak akan mengenepikan aspek ini memandangkan kita sedang berusaha untuk menjadi sebuah masyarakat berpendapatan tinggi. Tiada gunanya bercakap tentang masyarakat berpendapatan tinggi sekiranya isu berkaitan kemiskinan tegar di luar bandar, tidak diselesaikan,” katanya.
Anggota Parlimen Santubong, Datuk Wan Junaidi Tuanku Bujang, pula berkata RMK-10 perlu merupakan suatu rancangan yang mampu merealisasikan hasrat Perdana Menteri, terutama janji beliau untuk menaik taraf semua prasarana asas di Sabah dan Sarawak.
“Setiap kawasan luar bandar dan separa luar bandar perlu diberi bantuan secara adil dan dengan sewajarnya, manakala bantuan pula tidak patut bertumpu di satu atau dua kawasan sahaja, tetapi perlu memenuhi keperluan asas rakyat dan meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
Wan Junaidi, yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat seterusnya berkata: “Perlu ada keseimbangan antara Sabah, Sarawak dan negeri-negeri lain di semenanjung Malaysia. Bukan saja daripada segi prasarana, tetapi juga daripada aspek sosial dan ekonomi serta capaian kepada teknologi maklumat.
“Sebagai contoh, Sibu (dikatakan) adalah sebuah bandar yang boleh dianggap maju, tapi kenapa penduduknya menolak BN (Barisan Nasional)? Kita perlu lihat pada keperluan sosial dan isu berkaitan peluang pekerjaan serta guna tenaga.
Kekayaan yang dimiliki oleh beberapa individu (di bandar berkenaan) tidak boleh dijadikan ukuran,” katanya.


Coretkan sesuatu untuk membuatkan 'post' itu lebih bermakna. TQ so much.
 
Bookmark and Share
Share

Entri-Entri terkini