'Inspektor Lim' diberkas tipu kedai aksesori kereta
NIBONG TEBAL 1 Jun - Taktik seorang lelaki menyamar sebagai pegawai polis berpangkat inspektor dan memperdaya puluhan tuan punya kedai aksesori kereta di empat buah negeri sejak 13 tahun lalu, terbongkar setelah dia ditahan, semalam. Modus operandi digunakan adalah mendapatkan khidmat membaiki radio atau kelengkapan kereta di kedai aksesori kenderaan sebelum melarikan diri tanpa membuat sebarang bayaran selepas memandu uji.
Malah suspek berusia 33 tahun juga sering menyamar sebagai pegawai polis dengan menggunakan nama Inspektor Lim dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman. Suspek yang dikesan menjadikan kedai aksesori kereta di negeri ini selain Selangor, Perak dan Pahang sebagai sasaran, turut memiliki beberapa peralatan seperti pakaian seragam polis dan gari bagi tujuan memperdaya pemilik kedai.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, suspek ditahan polis peronda lebuh raya di Kilometer 167.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan selepas mendapat maklumat daripada orang ramai. "Suspek berjaya ditangkap oleh beberapa orang awam yang mengejarnya dari pekan Parit Buntar selepas melakukan penipuan di sebuah kedai aksesori kereta di situ.
"Hasil pemeriksaan, polis peronda juga berjaya menemui kad nama Asisten Supritendan Lim, gambar pasport suspek dengan logo integriti, kemeja T berlogo polis dan beret biru tua tanpa logo. "Turut ditemui adalah sehelai baju seragam polis tertera nama Inspektor Lim, dua helai seluar seragam polis, gari dan buku catatan nombor telefon," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan di sini hari ini. Suspek juga, jelas beliau, pernah menipu dengan menghantar kenderaannya untuk dibaiki dan meminjam kereta pemilik bengkel berkenaan.
"Dia bagaimanapun melarikan kereta pemilik bengkel tersebut," katanya. Tambahnya, suspek dari Simpang Ampat di sini dipercayai terlibat dalam 17 kesalahan lampau dengan tujuh daripadanya adalah di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan. Selain itu, katanya, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Akta Polis 89 (a) kerana memiliki lencana polis.
"Saya menyeru kepada mangsa yang pernah ditipu oleh suspek supaya tampil ke IPD SPS atau balai polis untuk membantu siasatan. "Suspek ditahan reman sehingga 4 Jun ini dan kita akan berhubung dengan polis di negeri-negeri lain untuk membantu siasatan," ujarnya lagi.
utusan
P/S:
Dah tak ada kerja lain kah sampai menyamar jadi anggota polis dan melakukan penipuan pula tu.. Kamulah yang merosakkan nama baik polis..Coretkan sesuatu untuk membuatkan 'post' itu lebih bermakna. TQ so much.