Kesibukan kerja seharian menyebabkan seorang bapa kesuntukan masa untuk melihat-lihat 2 anaknya. Oleh sebab bapa kepada orang ini melihat keadaan yang kurang bertanggungjawap ini maka dia mengambil keputusan untuk menyaman anaknya sendiri agar anaknya ini lebih bertanggungjawap dalam menjaga cucunya yang seakan-akan diabaikan itu...
Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bharian.com.my
2010/07/14
MUSTAFA hadir pada pembicaraan tuntutan nafkah terhadap anak lelakinya untuk dua cucu di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU: "Saya terpaksa ambil tindakan saman kerana ini saja cara untuk kami bertemu semula dengan dia, demi dua anaknya," kata Mustafa Ismail, 64, yang menyaman anaknya, seorang pengurus di sebuah syarikat cari gali minyak yang mengabaikan tanggungjawab menjaga dua anak.
Mustafa yang pada mulanya keberatan untuk ditemubual ketika dikunjungi Berita Harian di rumahnya di Kampung Beladau Kolam, di sini, berkata dia buntu memikirkan masa depan dua cucu yang ditinggalkan bersamanya, sekali gus terpaksa memilih jalan terakhir itu bagi membolehkannya bertemu anak lelakinya, Nasrun Mustafa, 37, yang dikatakan berpendapatan RM17,000 sebulan.
Pesara sebuah syarikat cari gali itu berkata, dia sudah tidak bekerja, malah kesihatannya juga kurang baik kebelakangan ini menyebabkan dia tidak mampu menyediakan kewangan mencukupi untuk dua cucu kesayangannya itu yang masing-masing kini belajar di Tingkatan Satu dan Tingkatan Tiga.
“Saya hanya mahu dia pulang supaya kami dapat bertemu. Selama tujuh tahun dia tidak pernah menjenguk kami, kedua ibu bapanya dan dua anaknya... dia tidak pernah memberi nafkah kepada anaknya,” katanya.
Isteri Mustafa, Mariam Abdullah, 54, pula berkata anak sulungnya itu berkahwin dengan isteri pertamanya yang berasal dari Kampung Batu Hampar, Telemong, Hulu Terengganu pada 1994, sebelum bercerai pada 1 Julai 1997. Bagaimanapun, perceraian mereka disahkan pada 30 Disember 1998.
Dia berkata, selepas pasangan itu bercerai, dua cucunya dijaga oleh bekas menantunya hingga 2004, manakala anak lelakinya tidak pernah mengambil tahu perihal anak mereka. Bagaimanapun, selepas berkahwin lain, bekas menantunya menyerahkan penjagaan cucunya kepada dia dan suami.
“Anak lelaki mak cik pun berkahwin lain selepas bercerai dengan isteri pertama. Entah di mana silapnya, sejak itulah dia berubah, tidak pernah menjenguk kami dan dua anaknya. Malah, perbelanjaan anaknya juga tidak pernah diberi. Mak cik bukan nak memuji, sebelum berkahwin kali kedua, Nasrun seorang anak yang sangat baik.
“Bercakap dengan mak ayah pun ‘beraluh’ (sopan santun), sembahyang pun tidak pernah tinggal, malah sebagai anak sulung dan abang kepada enam adik, dia sangat mengambil berat hal keluarga. Siapalah yang tidak sedih apabila perkara begini terjadi kepada keluarga,” katanya sambil menyeka air mata dengan tudung dipakainya.
Mariam yang lebih dikenali sebagai Zaharah di kalangan penduduk kampung itu berkata, sebagai nenek, dia kasihan melihat cucunya yang sering bertanyakan perihal ibu bapa sehingga ada beberapa waktu pelajaran cucunya merosot, sedangkan mereka adalah pelajar pintar di sekolah.
Katanya, kali terakhir mereka sekeluarga bertemu Nasrun adalah ketika hendak pergi menunaikan haji lebih tujuh tahun lalu.
Pagi semalam, Mustafa memfailkan tuntutan terhadap Nasrun di Mahkamah Rendah Syariah di sini, untuk memberi nafkah kepada dua cucunya.
Mustafa menuntut tunggakan nafkah berjumlah RM20,000 untuk dua cucunya itu serta mengemukakan dua lagi tuntutan iaitu meminta defendan yang bekerja sebagai pengurus pelantar minyak syarikat beribu pejabat di Kuala Lumpur membayar nafkah dua anaknya RM800 sebulan secara potongan gaji.
Plaintif juga mahu defendan memohon maaf kepadanya kerana mengabaikan tanggungjawab terhadap dua anaknya dan tidak pulang ke rumah sejak tujuh tahun lalu.
Peguam plaintif, Fazru Anuar Yusoff, berkata Nasrun yang tidak diwakili peguam tidak hadir ke mahkamah, tetapi mengemukakan permohonan melalui surat supaya kes berkenaan diselesaikan di luar mahkamah.
Terdahulu, Hakim Kamarulazmi Ismail menasihatkan supaya kes berkenaan diselesaikan di luar mahkamah kerana perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan sangat mengaibkan apabila ia dirujuk ke mahkamah, berikutan membabitkan hubungan antara anak dan bapa.
“Kalau sudah bawa ke mahkamah, memang cukup mengaibkan. Kes pertama seumpama ini pernah berlaku di Negeri Sembilan apabila ibu bapa memfailkan tuntutan di mahkamah disebabkan anak kandung dan suaminya memungkiri janji untuk menjaga kebajikan mereka, selepas bapanya memindah milik nama rumah kepada anak perempuannya itu.
“Walaupun ibu bapa itu menang kes berkenaan, dari segi hukum memang tidak sepatutnya perkara seperti itu berlaku. Rasulullah SAW pernah menyebut orang yang derhaka kepada ibu bapanya akan mendapat balasan di dunia. Kalau ketika ini dia hidup senang dengan pendapatan berbelas ribu ringgit, tetapi ia tidak akan kekal lama,” katanya.
Kamarulazmi kemudian menetapkan 24 Ogos ini untuk tarikh sebutan semula kes.
sumber:
-beritaharian-
Coretkan sesuatu untuk membuatkan 'post' itu lebih bermakna. TQ so much.
Share