CLICK MY NUFFNANG AD'S

Mari Ramai-Ramai Klik..

Thursday, October 8, 2009

4 keadaan melayakkan pengantin wanita boleh guna wali hakim

SAYA bakal mendirikan rumah tangga pada Disember ini. Namun, saya diberitahu oleh orang tua saya bahawa saya sebenarnya anak angkat dan mereka juga tidak mengetahui siapakah ibu bapa sebenar saya. Alhamdulillah bakal suami dan keluarganya dapat menerima saya seadanya. Apakah yang saya patut lakukan untuk membolehkan saya berkahwin.

Tina,

Dalam Islam wali hakim ialah Sultan atau Raja yang beragama Islam yang bertindak sebagai wali kepada pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali. Oleh kerana Sultan atau Raja ini sibuk dengan tugas negara maka ia menyerahkannya kepada Kadi atau Pendaftar Nikah untuk bertindak sebagai wali hakim. Rasulullah SAW bersabda: “Sultanlah menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali”. (Riwayat Al-Khamsah). Seksyen 2 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (AUKI), wali hakim ditakrifkan sebagai wali yang ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali daripada nasab.

Berikut adalah sebab dibolehkan seseorang pengantin perempuan menggunakan wali hakim:

l.Tidak ada wali nasab seperti saudara baru dan ada saudara-maranya yang memeluk Islam atau perempuan yang tidak mempunyai wali langsung mengikut tertib wali;

2. Anak tidak sah taraf atau anak angkat;
3. Wali yang ada namun tidak cukup syarat seperti gila, tidak cukup umur dan sebagainya, dan

4. Wali aqrab menunaikan haji atau umrah.

Seksyen 7 (2) AUKI memperuntukkan bahawa jika sesuatu perkahwinan seorang perempuan yang tiada mempunyai wali daripada nasab, mengikut hukum syarak, perkahwinan itu hendaklah diakad nikah hanya oleh wali Raja.

Seksyen 13 (b) AUKI memperuntukkan bahawa Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat pihak perempuan itu bermastautin. Atau seseorang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh Hakim Syarie selepas siasatan di hadapan semua pihak yang berkenaan, dan memberi persetujuannya terhadap perkahwinan itu oleh wali Raja mengikut hukum syarak.

Persetujuan itu boleh diberi jika perempuan tiada mempunyai wali daripada nasab mengikut hukum syarak atau jika wali tidak dapat ditemui atau jika wali enggan memberi persetujuannya tanpa sebab yang mencukupi. Dalam kes ini, saudari perlulah membuat permohonan kebenaran berkahwin secara wali Hakim di Mahkamah Rendah Syariah yang berdekatan dengan tempat tinggal saudari dan membawa dokumen lengkap untuk tujuan pendaftaran.

Satu perbicaraan akan dibuat di hadapan hakim dan saudari hendaklah membawa dua saksi daripada keluarga angkat saudari bagi membolehkan mahkamah membuat siasatan dan keputusan yang wajar mengenai permohonan saudari itu.

Oleh itu, saudari dan saksi hendaklah memberi keterangan yang betul dan sewajarnya dalam meyakinkan mahkamah untuk membuat keputusan. Ini kerana masalah perwalian dalam perkahwinan adalah suatu perkara serius dan ia salah satu rukun di dalam perkahwinan.

Bagi melicinkan dan mempercepatkan proses permohonan saudari, saya nasihatkan agar saudari mendapatkan khidmat nasihat peguam bertauliah dan berkemahiran.



Jawapan ini disediakan Exco Penerangan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Yusmawati Abllah

Sumber: Berita Harian

Share

Entri-Entri terkini