Google+ Followers

CLICK MY NUFFNANG AD'S

Mari Ramai-Ramai Klik..

Wednesday, October 7, 2009

Berita hangat artis malaysia

Tunggu masa sesuai naik pelamin
Oleh Hardi Effendi Yaacob



Zamarul, Diana siap sedia ikat percintaan tujuh tahun

SEJAK beliau membuat kejutan apabila berterima kasih kepada buah hatinya, siapa lagi kalau bukan Diana Rafar, ketika menjulang trofi Pelakon Drama Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin 2008, pihak media tidak henti-henti memburu pelakon berbakat besar ini.

Tujuan mereka cuma satu, mahu mendapatkan pengesahannya sama ada kejutan yang dibuatnya itu sebagai petanda hubungan cinta mereka akan berakhir dengan perkahwinan.
Justeru, kesempatan mengadakan sesi fotografi bersama Zamarul dan Diana yang berlangsung di Butik The Closet, Shah Alam, baru-baru ini, digunakan sebaik mungkin untuk mendapatkan kepastian mereka berhubung perkara itu.
Zamarul ketika ditemui, tidak menafikan mereka sudah bersiap sedia untuk menempuh alam perkahwinan, namun masih menunggu masa yang sesuai.

“Memang kami mahu hubungan ini berakhir dengan satu ikatan sah. Kami pun tidak mahu ia tergantung begitu saja. Lagipun, sudah lama sangat kami bercinta, malah sudah pun masuk tahun ketujuh sejak mula mengenali pada 2002.

“Sebenarnya, perancangan berkahwin itu sudah dibuat, cuma sedang menunggu masa sesuai. Saya dan Diana pun tidak mahu terkejar-kejar dalam hal ini sebab masing-masing sibuk. Kami berserah pada Allah. Jika ada jodoh, bersatu juga kami nanti... Insya-Allah,” katanya.

Bagi Zamarul, tempoh percintaan mereka yang panjang itu bukannya sesuatu yang sia-sia, malah banyak perkara dipelajarinya bersama Diana, terutama aspek keserasian yang dianggapnya asas penting dalam memelihara keharmonian rumah tangga.

“Saya pernah gagal dalam perkahwinan sebelum ini. Walaupun kecewa, namun ia tidak pernah melunturkan semangat saya untuk berkahwin lagi. Saya percaya pada qada dan qadar, selain prinsip gagal sekali tidak bermakna gagal untuk selamanya.

“Banyak hikmah saya peroleh di sebalik peristiwa, malah memberi pengajaran yang cukup bermakna. Sebab itulah saya katakan, aspek keserasian ini penting. Inilah yang saya dan Diana cuba selami sepanjang tujuh tahun ini,” katanya.
Zamarul pandai ambil hati

DITANYA bagaimana penerimaan keluarganya terhadap Zamarul yang berstatus duda anak satu itu, Diana menjelaskan, ibu dan semua adik-beradiknya bersikap terbuka, malah menerima siapa saja yang bertakhta di hatinya.

“Bagi keluarga saya, mereka tidak mahu tahu kisah hidup dia yang sebelum ini... sejarah biar jadi sejarah. Lagipun, mereka senang dengan Zamarul, lebih-lebih lagi ibu saya. Zamarul memang pandai ambil hati kami sekeluarga. Dia menyayangi ibu saya lebih dari segalanya.

“Sebenarnya, saya tidak kisah pun sama ada dia bujang atau duda asalkan dia menyayangi saya. Selepas sekian lama berkawan, saya yakin dia mampu membahagiakan saya dunia dan akhirat. Namun, saya berserah kepada takdir untuk menentukan segalanya,” katanya.

Ditanya sama ada buah hatinya itu menepati ciri lelaki idamannya selama ini, beliau dengan ikhlas mengakui tidak pernah memikirkannya kerana Zamarul adalah cinta pertamanya.

“Saya tidak pernah mempunyai lelaki idaman kerana inilah kali pertama saya bercinta. Dengan Zamarul, barulah saya mengenali apa itu erti cinta. Namun, apa saya nampak, dia seorang lelaki matang yang sentiasa `cool’ mungkin disebabkan faktor usia, selain pengalamannya sebelum ini.

“Kepada dialah tempat saya sering mengadu nasib dan mendapatkan nasihat. Saya yakin pilihan saya tepat dan memang berharap hubungan ini berakhir di jenjang pelamin,” katanya.

Zamarul yang duduk di sebelahnya kelihatan tersipu-sipu dengan pujian yang dilemparkan kepadanya. Namun, sempat Zamarul menyatakan beliau sudah menganggap ibu dan adik-beradik Diana bagaikan keluarga sendiri.

“Alhamdulillah, mereka menerima saya seadanya, begitu juga sebaliknya. Malah, saya menganggap ibu Diana seperti ibu sendiri. Sebagai anak, saya amat menyayangi dan menghormati ibu saya. Maka, saya perlu melakukan perkara yang sama terhadap ibu Diana,” katanya.

Dugaan terhebat digosip dengan Mawi

TUJUH tahun menyulam kasih, sudah banyak pengalaman suka duka ditempuh pasangan ini yang dipertemukan ketika kedua-duanya bekerja di Motion Planet, sebuah syarikat penerbitan VCD terkenal di ibu kota.

Namun, dalam kebanyakan cabaran yang dihadapi mereka, dugaan paling hebat ialah apabila Diana dikatakan bercinta dengan juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Asmawi Ani atau Mawi. Bagi Diana, gosip itu benar-benar menguji hubungannya dengan Zamarul, namun konflik itu berjaya diatasi dengan baik berdasarkan prinsip saling mempercayai yang wujud antara mereka.

“Cerita itu tidak betul... saya pun tidak tahulah bagaimana ia boleh tersebar. Namun, saya bersyukur kerana dia `cool’ dan menerima berita itu cuma sebagai satu gosip liar. Mungkin, ini berkat prinsip saling mempercayai yang kami wujudkan sejak di peringkat awal perkenalan kami.

“Bila isu ini hangat diperkatakan dulu, ketika itulah saya dapat menyaksikan sendiri kematangannya dalam menangani sesuatu konflik. Maklumlah, dia lebih dewasa daripada saya. Itulah yang meningkatkan lagi keyakinan saya kepadanya,” katanya.

Bagaimanapun, Diana enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, malah turut meminta ia tidak diperbesarkan lagi kerana terlalu banyak perasaan yang perlu dijaga apatah lagi kini Mawi sudah pun berkahwin dengan pilihan hatinya, Ekin.

Rezeki orang bercinta

TIDAK dinafikan, rezeki Zamarul dan Diana semakin murah sejak kebelakangan ini, malah pelbagai tawaran diterima mereka, termasuk dilantik sebagai duta produk kesihatan terkenal, Al-Jabbar Herbs, membabitkan sejumlah bayaran yang dikatakan agak lumayan.

Malah, Zamarul sendiri mengakui sejak mengenali buah hatinya itu, tawaran lakonan diterima bertali-arus hinggakan mereka tidak punya masa terluang untuk dihabiskan bersama seperti kebanyakan pasangan bercinta lain.

“Alhamdulillah, banyak `job’ sekarang, seolah-olah percintaan ini membuka pintu rezeki kami. Tawaran yang diterima pun bukan hanya dalam bidang lakonan, bahkan sebagai jurucakap produk. Ada tawaran yang mahukan kami berpasangan, tidak kurang juga tawaran bersifat individu.

“Mungkin inilah yang dinamakan rezeki bercinta. Tidak sangka pula percintaan ini menghasilkan kesan positif terhadap kehidupan kami berdua,” katanya.

Bagaimanapun, dalam memenuhi semua tuntutan kerja itu, tentunya ia membabitkan pengorbanan, terutama dari segi masa yang sepatutnya dihabiskan bersama, menyebabkan pasangan ini jarang keluar bersama kecuali apabila bercuti panjang.

Ini turut diakui Diana yang ternyata tidak dapat membendung kesedihannya berikutan kesukaran menghabiskan banyak masa bersama `cinta pertamanya’ itu.

“Sebenarnya, kami nama saja pasangan bercinta tetapi mahu berjumpa pun susah, apa lagi mahu keluar dating. Kalau dapat berjumpa sekali seminggu sudah cukup baik. Orang nampak mudah tetapi cubalah berada dalam situasi kami ini. Namun, saya tidak pernah kecewa dengan keadaan ini. Inilah hakikat percintaan kami. Saya dan Zamarul bersyukur kerana setakat ini tiada apa-apa masalah timbul sebab masing-masing sudah ada persefahaman. Apa yang kami buat ini pun untuk kebaikan masa depan kelak,” katanya.

Info Diana Rafar

  • Nama Penuh: Adiana Abdul Rafar


  • Tarikh lahir: 9 Mei 1982


  • Usia: 26 tahun


  • Asal: Kampung Pandan, Kuala Lumpur


  • Keluarga: Anak Bongsu (dari enam beradik)


  • Kerjaya: Model, Duta Produk, Pengacara, Pelakon, Penyanyi dan Ahli Perniagaan


  • Mula Terbabit (Dalam Bidang Seni): Ketika Berusia 5 tahun


  • Album: GIM (1999) dan S.I.S (2005)


  • Drama/Telefilem: Sempadan Kasih, Mencari Ibu, Rumah Kedai, Tragedi Epal Hijau, Bunga Bunga Pulau, Mimpi, Diari, Radio Gaga dan Exora


  • Filem: Susuk


  • Iklan/Produk: Provite Vitamin, Pantene, Al Jabbar, Echo Park, Vita-X dan Q-Neera


  • Program TV: Bintang Kugiran, Suria 2002 dan Temasya Pantun RTB - RTM,


  • Perniagaan: D'Lugano Spa



    Info Zamarul Hisham


  • Nama Penuh: Zamarul Hisham Mohamed


  • Tarikh Lahir: 9 Mac 1971


  • Usia: 37 tahun


  • Asal: Johor Bahru, Johor


  • Keluarga: Anak Bongsu (dari empat beradik)


  • Kerjaya: Model, Pelakon, Duta Produk dan Ahli Perniagaan


  • Pencapaian: Pelakon Drama Lelaki Terbaik (Anugerah Skrin 2008)


  • Filem: Di Ambang Misteri, Lady Boss, I Know What You Did Last Raya, Kantoi


  • Drama/Telefilem: Dinasti Bilut, Cikgu Vespa Merah, Ihsan, Suara Saleha 


  • Source: Berita Harian


    P/s:  Tak Sabar tengok impian mereka menjadi kenyataan..

    Share

    Entri-Entri terkini