29th March, 2010
LAHAD DATU: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Lahad Datu merampas 9,500 bungkus rokok seludup jenama ‘Black Jack’ yang dianggarkan bernilai RM23,750 di tepi jalan Sinar Dam Road, dekat sini, pada awal pagi Ahad.
Pegawai Pemerintah Pangkalan Hadapan Pasukan Polis Marin Daerah ini, ASP Rusdin Banin, berkata rampasan hasil maklumat awam itu dilakukan pada kira-kira pukul 1.30 pagi oleh sepasukan empat anggota PGM diketuai oleh Inspektor Ahmad Puad Othman.
Menurut Rusdin, pihaknya yang tiba di lokasi kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kejadian tersebut mendapati dua buah kenderaan di lihat berada di tepi jalan tersebut dan sedang melakukan urusan di kawasan semak berhampiran.
Bagaimanapun tambahnya, sebaik sahaja menyedari kehadiran pasukan PGM semua suspek yang terbabit telah bertindak melarikan diri menggunakan kenderaan tersebut.
“Hasil pemeriksaan kita telah menemui sejumlah 9,500 bungkusan rokok jenama ‘Black Jack’ di kawasan tersebut.
“Semua rampasan itu akan diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk siasatan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam ,” katanya lagi.
Sumber: New Sabah Times (31 Mac 2010)
Nampaknya penyeludup-penyeludup ini tidak serik-serik melakukan kegiatan mereka kerana mereka tahu yang selama ini banyak kali mereka terlepas. Mungkin 10 kali buat, hanya sekali kena tangkap. Jadi tidak jadi masalah jika kena tangkap sekalipun. Masih untung banyak.
Kepada pihak kastam dan polis, teruskan usaha anda dalam membenteras kegiatan penyeludupan di negeri ini. Tahniah.
Share