8th June, 2010
KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menyemak semula gaji kira-kira 70,000 penjawat awam yang bertugas dalam bidang kerja berisiko tinggi, kata presidennya Omar Osman.
Beliau berkata penjawat awam daripada gred 17 hingga 38 di lima jabatan iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen dan anggota penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan masih lagi menerima gaji yang rendah berbanding penjawat awam pada gred yang sama di jabatan lain.
“Cuepacs minta kerajaan menyemak semula gaji penjawat awam khasnya yang beruniform (dalam kerja berisiko) agar diberi insentif kenaikan gaji kerana mereka terlibat dalam tugas berisiko tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Persatuan Pekerja Bomba di sini kelmarin.
Sebagai contoh katanya penjawat awam di Jabatan Bomba dalam itu hanya menerima gaji RM800 hingga RM1,500 dan sepatutnya mendapat gaji lebih tinggi mengikut kemahiran dan kepakaran masing-masing dalam jabatan dan agensi yang berkaitan seperti di sektor swasta.
Menurutnya langkah untuk menaikkan gaji penjawat awam di jabatan yang berisiko ini juga sebagai usaha untuk mengurangkan pembabitan mereka dalam kerja-kerja sambilan selepas waktu bertugas.
Difahamkan hampir kebanyakan penjawat awam dalam gred rendah di lima jabatan terbabit, terpaksa membuat kerja sambilan untuk menampung kos sara hidup yang tinggi khasnya bagi mereka yang bekerja di bandar-bandar utama.
“Ada yang jadi pemandu teksi dan ramai lagi yang berniaga selepas waktu bertugas, sebab itu kita mahu mereka ini menerima gaji yang lebih baik sekurang-kurangnya RM4,000 (untuk tempoh jangka panjang) agar dapat memberi lebih banyak tumpuan kepada tugas seharian,” kata Omar.
Sementara itu pada mesyuarat Cuepacs di sini semalam, beliau berkata anggota kongres itu bersetuju menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar mempertimbangkan semula cadangan menghapuskan beberapa subsidi yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini.
Katanya antara beberapa kandungan dalam memorandum tersebut ialah tentang cadangan kenaikan imbuhan tetap perumahan, bayaran kola dan elaun wilayah selain kenaikan kos bantuan pengurusan jenazah untuk penjawat awam dari RM1,000 hingga RM3,000.
“Cuepacs juga berharap kerajaan memberi bonus sekurang-kurangnya dua bulan kepada penjawat awam kerana tahun lalu hanya menerima RM500,” katanya.
SUMBER:
Sabahtimes
Untungnya penjawat awam tapi bagaimana pula dengan pekerja swasta? Jarang sekali kedengaran ada berita seumpama atau bantuan dari ceupacs.. Siapalah yang akan membela nasib pekerja swasta? harap kerajaan dapat membuat sesuatu...
Coretkan sesuatu untuk membuatkan 'post' itu lebih bermakna. TQ so much.
Share