KOTA KINABALU:
Majlis Gereja-gereja Sabah (SCC) menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi penganut agama Kristian membuat keputusan berhubung sebarang cadangan untuk menggugurkan tuntutan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh Akhbar Herald-The Catholic Weekly.
Pengerusi SCC, Pastor Kanan Jerry Dusing berkata, pada masa ini pihaknya tidak mempunyai sebarang cadangan dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi agama itu.
“Kita tunggu dan lihat (perkembangan isu kalimah ‘Allah’). Sebarang kenyataan rasmi biarlah dibuat oleh pihak tertinggi (agama Kristian),” katanya ketika dihubungi, di sini kelmarin.
Beliau mengulas pendirian Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun yang meminta akhbar mingguan Katolik itu menggugurkan tuntutannya di mahkamah.
Tokoh Kristian Sabah itu berkata, langkah itu perlu memandangkan isu tersebut kini bertambah buruk apabila beberapa buah gereja di Semenanjung dan Sarawak dibakar selain turut menerima ugutan.
Sementara itu, Clarence ketika ditemui di pejabatnya kelmarin menafikan bahawa kenyataannya pada Ahad dipengaruhi atau ‘diarahkan’ pihak tertentu sebaliknya dibuat setelah melihat konflik antara agama yang mula kelihatan.
“Saya terima banyak panggilan telefon dan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada penganut Kristian yang bersetuju dengan saya,” kata bekas Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah itu bimbang jika isu tersebut dibiarkan, dua kelompok pelampau agama antara Islam dan Kristian akan terbentuk dan keadaan menjadi semakin parah lagi selepas itu.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah menambah, mana-mana pihak yang memenangi isu berkenaan melalui saluran mahkamah sukar untuk mententeramkan keadaan.
“Kalau mana-mana pihak menang isu itu di mahkamah, mesti ada satu pihak lagi yang tidak berpuas hati dan isu ini akan berpanjangan. Jalan terbaik ialah gugurkan tuntutan,” ujarnya.
Clarence seterusnya berkata, beliau percaya tuntutan penggunaan kalimah Allah itu dibuat oleh pemimpin Kristian yang mempunyai kepentingan atau agenda tertentu.
Dalam pada itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menegaskan, tindakan membakar gereja tidak akan membawa sebarang penyelesaian berhubung isu itu.
Beliau yang juga seorang Pastor percaya tindakan mahkamah juga bukan jalan terbaik menyelesaikan isu tersebut. Sebaliknya, kata Timbalan Presiden PBS itu, jalan terbaik menyelesaikan isu tersebut dengan menggunakan pendekatan berunding.
“Semasa saya menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam soal perpaduan, kami menggunakan pendekatan berunding dalam menangani isu berkaitan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut Kristian,” katanya.
Sumber:
Sabah times.
Share