CLICK MY NUFFNANG AD'S

Mari Ramai-Ramai Klik..

Saturday, May 15, 2010

Jangan sayang ibu bapa bermusim


Zahazan Mohamed


Apakah boleh kita menyambut Hari Ibu?

ZAHAZAN: Pada umumnya, Islam mengharuskan kita menyambut Hari Ibu atau Hari Bapa. Cuma ia mesti mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Islam.
Maknanya, antara lain sambutan itu tidak boleh dicemari dengan percampuran bebas lelaki perempuan yang bukan mahram, disajikan minuman keras dan sebagainya.
Sebabnya dalam Islam, seorang anak itu wajib mengasihi ibu dan bapanya sepanjang masa atau istiqamah. Bukan hanya pada hari tertentu sahaja kita kasih dan sayang pada ibu.
Masyarakat Barat yang merencanakan sambutan ini kerana untuk mengimbangi kesibukan mereka lalu diadakan satu hari khusus bagi menyatakan kasih sayang kepada ibu dan bapa. Ulama menyebut bahawa berbuat baik kepada ibu bapa itu dituntut sebagai mana kita solat fardu lima waktu sehari semalam. Maknanya, ia tidak boleh ditangguh.

Allah berfirman yang bermaksud: Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapa...(Luqman: 14) Bahkan, jika ditakdirkan ibu kita bukan Muslim pun, sebagai anak kita masih wajib berbuat baik kepada mereka melainkan jika kita disuruh melakukan keengkaran kepada Allah.
Ini dijelaskan daripada perkataan saahibhuma dalam ayat 15 surah Luqman. Perkataan itu berasal daripada kata saahib yang bermaksud akrab atau rapat. Apabila rapat baru kita mengerti perasaan seseorang. Kata orang, seorang ibu boleh menjaga 12 anak tetapi 12 anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu. Apakah kaitan hal ini dengan keberkatan dan reda Allah kepada kita?

ZAHAZAN: Memang betul. Kadang-kadang kita perhatikan dalam satu keluarga yang ramai itu, berlaku tolak-menolak siapa yang mahu menjaga ibu bapa apabila mereka tua. Sedangkan reda Allah kepada kita bergantung kepada redanya ibu bapa kepada kita. Ini dijelaskan menerusi sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Reda Allah terletak pada reda ibu bapa, kemarahan Allah juga terletak pada kemarahan ibu bapa". (Riwayat Tirmidzi, dan disahihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim.) Tanpa restu atau reda ibu bapa kita tidak akan mendapat rahmat Allah. Mungkin kita diberi kekayaan, anak-anak yang pintar dan sebagainya tetapi semua itu adalah istidraj. Ini yang berlaku ke atas Firaun.

Apabila disebut Allah mengistidrajkan hambanya-Nya, ia bermaksud setiap kami hamba itu membuat atau menambah kesalahan maka setiap kali itu juga Allah menambah atau membaharui nikmat-Nya ke atas hamba tersebut membuatkan hamba itu tadi merasakan dia disayangi dan lupa memohon ampun. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu melihat bahawa Allah memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT". (riwayat At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi) Menjaga ibu bapa lebih-lebih lagi apabila sudah lanjut usia memang banyak cabarannya. Apa iktibar untuk kita supaya tidak patah semangat dalam hal ini?

ZAHAZAN: Memang betul menjaga ibu bapa yang sudah lanjut usia memang banyak cabarannya. Namun, Allah telah mengingatkan kita supaya sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa waima mereka lanjut usia sekali pun. Allah berfirman yang maksud-Nya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. 

Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil. (al-Israk: 23-24)

Kita bertanggungjawab berbakti kepada mereka. Tanggungjawab berbuat baik kepada mereka boleh dikatakan lebih penting daripada berjihad pada satu-satu ketika. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Seorang lelaki datang berjumpa Nabi SAW, beliau meminta izin untuk berjihad, lalu Nabi SAW bertanya: "Adakah kedua ibu bapamu masih hidup?" Beliau menjawab: "Ya", Baginda SAW bersabda: "Maka kepada keduanyalah engkau berjihad (berbuat baik kepada keduanya dengan jiwa dan harta)". (riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda yang maksudnya: "Celakalah bagi tiga manusia iaitu apabila Ramadan datang tetapi tidak ada keampunan bagi mereka, Aku disebut di sisinya tetapi mereka tidak mendapat syafaat dan ada ibu bapa tetapi tidak pernah mendoakan keselamatan mereka". (riwayat al-Hakim dan Ibn Hibban) Kadang-kadang kesibukan bekerja mencari rezeki dijadikan alasan tidak menziarahi ibu bapa di kampung. Adakah ini juga termasuk dalam 'menyakiti' ibu bapa?

ZAHAZAN: Hukum dalam Islam boleh berubah mengikut keadaan. Contohnya, hukum asal bagi bagi seorang anak yang bekerja di Kuala Lumpur pulang ke kampung menziarahi ayahnya adalah harus. Namun, apabila ayahnya menelefon menyuruh anaknya balik ke kampung dengan suara yang penuh pengharapan, maka hukum harus itu tadi kini menjadi wajib. Dengan kata lain, anak itu tadi wajib pulang ke kampung menziarahi ibu bapa walaupun dalam kesibukan seharian. Jika tidak dapat bercuti panjang sekurang-kurangnya balik la untuk sehari dua.

Kita bimbang perbuatan yang menyakiti hati ibu bapa itu kelak menyukarkan kita mengucap kalimah tauhid apabila menghadapi sakaratul maut. Inilah kisah yang berlaku kepada Alqamah. Beliau ialah sahabat nabi yang warak dan kuat menderma. Namun, selepas berumah tangga, beliau kurang memberi perhatian kepada ibunya kerana selalu melebihkan isteri. Keadaan itu menyebabkan ibunya berkecil hati. Suatu hari, Alqamah jatuh sakit dan dalam keadaan nazak, beliau diajar mengucap kalimah La Ilaha Illallah, namun beliau tidak boleh mengucapkannya. Puas rakan-rakan menalkinkan kalimah tauhid itu tetapi Alqamah masih tidak mampu mengucapkannya. Lalu, seorang sahabat menceritakan perkara itu kepada Nabi SAW. Baginda kemudian pergi ke rumah Alqamah dan menalqinkan kalimah tauhid, tetapi sayangnya, Alqamah masih tidak boleh mengucapkannya. Nabi kemudian menanyakan adakah Alqamah ini masih mempunyai ibu kandung?" Hadirin ada yang menjawab "Masih ada". Lalu baginda meminta ibu Alqamah datang. Kemudian nabi bertanya kepadanya tentang hal Alqamah. Dalam dialog itu ternyata si ibu tadi ada berkecil hati atas sebahagian tindakan anaknya ini pada dirinya, setelah ia berumah tangga dan sampai saat ini, beliau belum memaafkannya, meskipun Nabi sendiri telah memintanya. Maka Nabi memerintah para sahabat mengumpulkan kayu api untuk membakar Alqamah kerana itu lebih baik sebelum dia dibakar di akhirat. Mendengar keputusan nabi itu, ibu Alqamah tidak sanggup apabila anak kandungnya dibakar di matanya sendiri.Beliau lalu memaafkan anaknya.
Selepas itu, barulah Alqamah boleh mengucap kalimah tauhid dan meninggal dunia. Bayangkan, jika kecil hati ibu yang sedemikian pun menyukarkan anaknya mengucap apalagi kesalahan yang lebih besar yang selalu kita lakukan kepada ibu bapa kita. 

Justeru, marilah kita sama-sama berbuat baik dan berkhidmat kepada ibu bapa sementara mereka masih hidup. Jangan kita menyesal apabila mereka sudah tiada lagi di bumi ini.

sumber:
utusan malaysia

Coretkan sesuatu untuk membuatkan 'post' itu lebih bermakna. TQ so much.
Bookmark and Share
Share

Entri-Entri terkini