CLICK MY NUFFNANG AD'S

Mari Ramai-Ramai Klik..

Sunday, June 13, 2010

Harith Iskander dan pasangannya Jezamine selamat diijab kabul

KUALA LUMPUR 12 Jun - 

Perkenalan di laman sosial, Facebook (FB) lebih setahun lalu akhirnya membawa pasangan selebriti, pengacara dan pelakon komedi terkenal, Harith Iskander Musa, 44, dan Jezamine Lim, 27, ke jinjang pelamin.

Harith dan pasangannya, seorang model yang semakin dikenali itu selamat dinikahkan dengan berwalikan hakim di kediaman Jezamine di Kota Damansara di sini hari ini. Dengan sekali lafaz, pasangan yang dinikahkan oleh Pendaftar Kanan Nikah, Cerai dan Rujuk daerah Petaling, Muhamad Sujak Muhd. Dasuki dengan mas kahwin RM300 itu akhirnya bergelar suami isteri kira-kira pukul 12.05 tengah hari.

Selain wang hantaran RM50,000, Harith turut membawa empat lagi barangan hantaran berupa beg tangan dan kasut berjenama Coach, set barangan kemas, sepersalinan pakaian dan juga coklat. Jezamine yang merupakan saudara baru itu pula membalas tujuh dulang hantaran berupa senaskhah al-Quran, tali leher berjenama Louis Vuitton, set wangian, buah-buahan, sepasang sepersalinan, kasut dan coklat.

Tidak percaya kepada cinta laman maya, baik Harith mahupun Jezamine bagaimanapun akur bahawa inilah jodoh yang ditentukan oleh Tuhan buat mereka. Bagi pasangan itu, jodoh mereka begitu kuat biarpun hakikatnya perkahwinan mereka mendapat tentangan daripada keluarga Jezamine.

Mengimbas detik berputik cinta antara mereka, kata Harith, segalanya berpunca apabila dia cuba untuk menjadikan Jezamine sebagai rakan di FB atas bantuan seorang rakan. "Tidak sangka Jezamine menerima saya sebagai rakan dan daripada situ bermulalah perkenalan dan bibit-bibit percintaan kami," kata Harith.

Biarpun gembira dirinya kini bertukar status, Harith bagaimanapun sedikit hiba apabila terkenangkan arwah ibu dan bapa yang tidak dapat bersama-sama meraikan hari bahagia itu.
Bapa Harith, Musa Mohamad meninggal dunia pada 26 Februari lalu akibat kegagalan jantung manakala ibunya, Farida Jane Musa menyusul kemudian pada 21 Mac lalu akibat sakit tua.

"Pada mulanya saya tidak berasa gementar untuk diakadnikahkan namun, saya jadi gementar apabila berhadapan dengan kadi kerana terkenangkan arwah ayah dan ibu saya.  "Arwah ibu begitu sayangkan Jezamine dan hari ini saya dapat merasakan seperti arwah ibu dan ayah ada bersama-sama," kata pelakon filem Sepet itu. Selain dihadiri oleh kenalan dan saudara mara terdekat, pelakon terkenal Hans Issac turut hadir menyertai rombongan pihak pengantin lelaki.


Sumber berita:
Utusan


Coretkan sesuatu untuk membuatkan 'post' itu lebih bermakna. TQ so much.
Bookmark and Share
Share

Entri-Entri terkini